Thursday 28 January 2010

Jodoh Dalam Perkahwinan




Sabda Rasulullah SAW:
"Janganlah mengawini wanita-wanita kerana kecantikan. Mungkin kecantikan itu memburukkan hidup. Jangan mengawini mereka karena harta, mungkin harta itu menyebabkan kezaliman mereka. Tetapi kawinilah mereka atas dasar agama. Seorang sahaya yang hitam, berbibir tebal yang beragama adalah lebih baik. (HR. Ibn Majah).

Maksud:
“Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'anhu bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Seseorang perempuan itu dipilih untuk menjadi isteri berdasarkan kepada empat ciri-ciri iaitu kerana harta bendanya, kerana keturunannya (kemuliaan keturunan), kerana kecantikannya, kerana pegangan agamanya. Kerana itu pilihlah (berikanlah keutamaan) kepada perempuan yang berpegang teguh kepada agama, nescaya kamu bertuah (beruntung). (Hadith riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya perkahwinan itu merupakan suatu fitrah semulajadi dalam kehidupan manusia bagi memelihara keturunan, sifat ingin dikasihi dan hidup bersama untuk memperolehi kasih sayang, ingin menjalinkan cinta yang berterusan dan ketenangan dalam hati. Namun bagi sesebuah rumahtangga muslim yang bahagia itu ianya bermula dengan pemilihan jodoh yang tepat seperti mana yang dianjurkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam dalam hadith di atas.
Bagi mereka yang merancang ingin mendirikan rumahtangga muslim yang bahagia, aspek
pemilihan jodoh yang tepat adalah sangat penting. Ini kerana, perkongsian hidup yang lahir nanti akan menentukan nasib sesudah berumahtangga dan menentukan corak hidup dalam masyarakat sama ada mendapat keredhaan Allah SWT atau sebaliknya. Bagi mereka yang bijak, sudah tentu akan mengutamakan calon isteri atau calon suami yang beriman kepada Allah SWT. Apa gunanya hidup kita, sekiranya kehidupan selepas berumahtangga menjadikan diri kita lebih jauh dari rahmat dan kasih sayang Allah SWT.
Apakah hikmah di sebalik saranan Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam memberikan panduan dalam memilih jodoh dengan mengutamakan calon isteri solehah atau suami yang soleh itu?

Kewajiban Dan Tanggungjawab

Seseorang yang hendak mendirikan rumah tangga hendaklah menyadari bahwa kewajiban dan tanggung-jawab sedang menantinya. Membina keluarga bermakna bertambahnya tanggungjawab terhadap isteri dan anak-anak. Di sini digariskan beberapa tanggungjawab penting suami dan isteri di dalam rumaht angga.

Kewajiban Suami

1. Suami adalah pemimpin keluarga, pelindung isteri dan anak-anak. Sebagai pelindung keluarga dan pemimpin unit masyarakat yang kecil ini, suami berkewajiban mangawal, membimbing, menentukan tugas, menyelaraskan hubungan suami istri, berusaha mencari keperluan hidup keluarga dan berusaha menyediakan faktor-faktor kebahagiaan dan keselamatan keluarganya.

2. Dia wajib menyediakan rumah kediaman, pakaian dan makan minum keluarga. Dia wajib mengajar anak isterinya dengan hukum-hukum agama. Kalau tidak mampu mengajar sendiri dia wajib menanggung biayanya. Dalam hal ini suami yang bijak dari awal akan memilih isteri yang beragama. Dengan itu dapat meringankan beban dan kewajibannya mengajar agama kepada isterinya. Isteri yang beragama itu, pasti dapat bekerjasama mendidik anak-anak dalam kehidupan beragama.

3. Perilaku suami di dalam dirumahtangga hendaklah berdasarkan rahmah (kasih sayang) berakhlak dan contoh yang baik. la bertanggungjawab di hadapan Allah SWT terhadap keluarganya. Bersikap baik dan adil di dalam mengendalikan rumahtangga adalah penting. Rasulullah SAW mensifatkan orang yang baik ialah orang yang baik kepada keluarganya.

4. Suami hendaklah mengasuh isteri dengan baik. Rasulullah s.a.w. menyifatkan kaum wanita sebagai amanah Allah SWT. Amanah itu hendaklah dijaga dengan cermat. Sebab itu Rasulullah s.a.w. berpesan supaya bersikap baik terhadap wanita dan sentiasa mengingatkan mereka supaya berkelakuan baik.

5. Tanggungjawab suami adalah penting di dalam membina keluarga. Kita dapat melihat dengan jelas bahwa perkawinan itu hanya diwajibkan bagi mereka yang sanggup menunaikan tanggungjawab. Apabila kawin, menunaikan tanggungjawab kepada keluarga adalah wajib bagi seorang suami.

Kewajiban Isteri

Apabila suami sebagai pemimpin di dalam rumah tangga, maka isteri juga mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu. Di antara tanggungjawab isteri ialah:

1. Bergaul dengan suami secara baik. Wajib bagi isteri menggauli suaminya dengan baik.

2. Mengendalikan kerja-kerja rumah. Menurut riwayat Janzani, Rasulullah s.a.w menentukan kewajiban anaknya Fatimah mengurus rumah dan Ali mengurus kerja-kerja di luar rumah. (AI Mar'ah fi Tasawwuri Islam, m.s 105, oleh Abdul Muta'al AI Jibry).

3. Berhias untuk suami. Isteri hendaklah sentiasa berada di hadapan suami dalam keadaan menarik. Dengan itu suami menjadi terhibur ketika di sampingnya. Tugas ini tidak dapat dilaksanakan dengan baik oleh isteri kecuali mereka yang faham.

4. Bujuk membujuk adalah penting dalam kehidupan rumahtangga. Ibn al-Aswad AI-Dualy berkata kepada isterinya:
"Apabila kamu melihat aku marah, tenangkanlah aku. Apabila aku melihat kamu marah, aku pula menenangkan kamu. Jika tidak janganlah kita bersama-sama. "

5. Isteri hendaklah taat kepada suami. Di dalam sesuatu tindakan, jangan sekali-kali membelakangkan suami, karena dia pemimpin rumah-tangga. Jika hendak keluar rumah mestilah mendapat izin dari suami terlebih dahulu. Isteri hendaknya pula memahami tugas dan kewajiban suami di luar. Ia mesti menyokongnya, memberi semangat dan menasihatinya supaya tidak berputus asa.

6. Wanita hendaklah sentiasa menjaga kehormatan diri dan nama suami. Wanita yang menjaga kehormatannya dianggap oleh Rasulullah S.A.W. sebagai wanita yang baik dan patut menjadi ukuran bagi lelaki yang hendak memilih isteri.

No comments:

Post a Comment