Thursday 28 January 2010

Anak Anak Kita


Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud,
'Tiap-tiap anak dilahirkan berkeadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi'(Riwayat Bukhari)

Terdapat beberapa ciri yang perlu ada untuk membentuk sebuah keluarga cemerlang antaranya bertakwa, bekerjasama, saling memahami, sayang menyayangi dan bertanggungjawab.
Konsep ketakwaan kepada Allah s.w.t harus dititikberatkan dalam setiap ahli keluarga iaitu taat segala perintah dan menjauhi segala larangan Allah s.w.t. Sembahyang lima waktu contohnya, tidak seharusnya diabaikan oleh setiap ahli keluarga. Anak-anak yang masih kecil seharusnya dididik mengerjakan sembahyang supaya apabila dewasa nanti mereka memahami bahawa sembahyang itu adalah wajib bagi setiap umat Islam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud,
'Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka ketika berumur 10 tahun sekiranya mereka enggan; dan pisahkan tempat tidur mereka.' (Riwayat Al-Hakim dan Abu Daud)

Bagi membentuk keluarga cemerlang juga, kita perlu berhijrah dengan menjadikan rumah sebagai ‘syurga’ iaitu tempat yang penuh dengan ketenangan, kenikmatan dan kebahagiaan.Keluarga cemerlang memerlukan anak-anak yang terdidik dengan sifat kasih sayang, penuh ketaatan dan rasa tanggungjawab.

Anak merupakan amanah Allah s.w.t kepada hamba-hamba-Nya. Kelahirannya seumpama kain putih bersih daripada noda dan kekotoran duniawi. Justeru, yang mencorakkan warna-warnanya adalah ibu bapa sendiri.

Anak memainkan peranan yang penting untuk menjadikan suasana yang harmoni dalam keluarga. Ibu bapa perlulah memberi didikan yang sempurna kepada anak-anaknya sama ada ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi.

Dengan didikan yang sempurna ini, anak-anak dapat memikirkan perkara yang baik dan buruk, seterusnya mentaati ibu bapanya yang melahirkannya ke dunia. Taat kepada ibu bapa ini bukanlah taat kepada perkara yang mungkar seperti meninggalkan sembahyang, puasa dan lain-lain, tetapi ketaatan seorang anak itu adalah atas perkara yang makruf dan yang diredhai Allah s.w.t. Perlulah diingat bahawa seorang anak tidak boleh berlaku kasar atau menzalimi kedua-dua ibu bapanya sekalipun sekadar menyebut perkataan ‘ah’ kerana ia sudah dianggap menderhaka dan berdosa besar.
Menuntut ilmu juga adalah peranan yang perlu dilakukan oleh setiap anak dari keluarga yang cemerlang. Ilmu yang perlu dituntut bukan hanya ilmu keduniaan seperti sains dan matematik, bahkan juga ilmu akhirat seperti akidah, ilmu feqah dan tasawwuf.

Anak-anak yang memperolehi kedua-dua ilmu itu sudah tentu dapat menseimbangkan antara ibadat khusus dan pekerjaan supaya antara kedua-duanya tidak diabaikan.Anak-anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu bapa sama ada yang masih hidup atau sudah mati.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa apabila matinya anak Adam maka terputus amal ibadatnya kecuali tiga perkara, pertama : ilmu yang bermanfaat, kedua : sedekah jariah dan ketiga : doa anak-anak yang soleh.

Jelaslah bahawa peranan anak-anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kepada ibu bapanya amat penting bagi menjamin ibu bapanya sentiasa hidup bahagia, sejahtera dan diredhai Allah s.w.t di dunia dan akhirat.

Satu lagi peranan bagi seorang anak untuk mewujudkan keluarga cemerlang ialah menjaga nama baik keluarga.Anak yang soleh pastinya anak yang sentiasa berkelakuan baik walau di mana sahaja dia berada. Apa yang dilakukan adalah berlandaskan ajaran Islam yang suci .

No comments:

Post a Comment