Tuesday 2 March 2010

Daripada Manakah Bermula Akhlak

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. dibangkitkan oleh Allah S.W.T. kepada umat ini selain daripada untuk menyeru umat kepada mengabdikan diri kepada Allah S.W.T. semata-mata. Baginda juga diutuskan untuk memperbaiki akhlak umat ini. Dengan ini akhlak merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan manusia, bahkan kemuliaan dan penghormatan satu-satu bangsa atau umat adalah kerana akhlaknya.
Menghormati kedua ibu-bapa serta beradab terhadap mereka berdua merupakan titik tolak kemuliaan akhlak bagi seseorang. Ini kerana merekalah yang sanggup bersusah payah semenjak dalam kandungan sehinggalah pada saat kelahirannya. Allah S.W.T. mewajibkan ke atas kita menggauli kedua ibu bapa dengan suatu pergaulan yang khusus serta berbeza dengan pergaulan kita terhadap orang lain.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik terhadap dua ibu-bapa kamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sampai kepada usia yang lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ah dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang sopan dan mulia."
(Surah al-Isra’ 17:23-24)

Seorang anak sama ada lelaki atau perempuan hendaklah bercakap dengan kedua ibu-bapa mereka dengan lemah-lembut, beradab sopan serta berkasih sayang. Begitu juga hendaklah menjauhi daripada perkataan yang buruk serta tidak baik yang mana boleh membuatkan kedua ibu-bapa itu tidak senang serta tidak selari dengan hati, serta hendaklah anak-anak itu berusaha melakukan perkara yang boleh menggembirakan hati mereka berdua itu. Jika ibu-bapa berdua itu sangat memerlukan kepada nasihat agama, maka menasihatilah mereka dengan lemah-lembut serta beradab.

Begitu juga bersopan atau bermoral terhadap saudara mara atau ukhuwah, jiran tetangga, dan manusia pada umumnya, sama ada dalam kenderaan, tempat kerja, dan sebagainya adalah termasuk akhlak mulia. Ini adalah kerana manusia itu mempunyai dua hubungan iaitu hubungan dengan Allah S.W.T. dan hubungan sesama manusia. Tidak sempurna hubungan kita kalau semata-mata baik hubungan hanya dengan Allah S.W.T. tanpa manusia dan begitu juga sebaliknya. Bahkan hendaklah kedua-dua hubungan itu seimbang atau seirat di antara satu sama lain. Allah S.W.T. sentiasa memberkati mereka yang menghayati nilai akhlak dalam kehidupannya. Jika pelajar sentiasa menghayati akhlak mereka akan memperolehi kecemerlangan dalam pencapaian akademik kerana akhlak dapat mengesan serta memandu seseorang pelajar ke arah kemajuan dan cemerlang serta mencapai keberkatan Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment