Monday, 15 February 2010

Gejala buang bayi, petanda masyarakat makin sakit.


Kejadian membuang bayi bukan merupakan satu perkara yang baru. Gejala tersebut telah dikesan lama dahulu dan pernah menjadi heboh beberapa tahun yang lalu. Kini gejala buang bayi diperkatakan semula berikutan semakin ramai bayi yang ditemui sama ada dalam keadaan hidup atau mati di merata tempat.
Kalau sebelum ini, kita dikejutkan dengan penemuan bayi di dalam tong sampah, longkang, pintu pagar masjid, bawah pokok, kaki lima, tandas dan depan rumah orang. Tetapi kini cara membuang bayi jauh lebih ekstrem dan tidak masuk dek akal.
Dalam kejadian yang terbaru, seorang bayi telah ditemui mati selepas dibuang daripada atas sebuah flat. Seorang bayi lagi ditinggalkan dalam beg plastik yang diikat rapat. Lebih menyayatkan hati lagi apabila seorang pelajar melahirkan anak di sekolah dan memasukkan bayi yang baru lahir itu ke dalam beg sekolahnya.Bayi-bayi itu yang dibuang dan sesetengahnya dibiarkan mati hasil daripada keterlanjuran yang dilakukan oleh ibu mereka yang kebanyakannya masih muda remaja. Bayi yang dilahirkan itu hasil daripada perhubungan seks yang dilakukan secara haram dan pergaulan bebas yang sudah menjadi trend bagi masyarakat kita.
Gejala buang adalah bukti yang paling nyata bahawa masyarakat kita sedang dilanda oleh masalah keruntuhan moral yang serius. Kebejatan sosial yang sedang berlaku itu menandakan bahawa masyarakat kita sedang sakit.Sekaligus menunjukkan betapa proses pembangunan yang dilaksanakan dalam negara kita berada pada kedudukan yang tidak seimbang.
Terdapat sesuatu yang tidak kena pada program pembangunan sosial negara. Begitu juga dengan sistem pendidikan yang telah gagal membendung pelbagai gejala dan kegiatan tidak sihat di kalangan pelajar-pelajar sekolah.Hasil kajian seorang pensyarah di UKM yang mendapati hampir kesemua responden pelajar perempuan yang dikajinya di sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks adalah asas yang paling kuat untuk menunjukkan kepincangan yang berlaku pada sistem pendidikan dan pembangunan sosial negara.
Ini belum lagi termasuk gejala-gejala lain seperti penyebaran ajaran Black Metal, Gothic, Punk, budaya Money Boy, Bohsia, Mat Rempit, Budak Makan Sampah, Grrr… dan sebagainya.Sesungguhnya apa yang sedang berlaku kepada golongan remaja dan pelajar sekolah seharusnya memberikan kesedaran kepada para pimpinan negara kita untuk memberikan perhatian yang serius bagi menangani permasalahan yang sedang berlaku itu.
Berdasarkan kepada statistik yang dikemukakan oleh pihak berkuasa didapati bahawa gejala pembuangan bayi telah mencatatkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelum ini.Pada tahun 2006, sebanyak 83 kes telah dicatatkan di seluruh negara berbanding 65 kes pada 2000. Sepanjang tempoh 2000 hingga 2006, sejumlah 580 pembuangan bayi telah dicatatkan dengan 48 daripadanya masih merupakan janin. Apa yang lebih membimbangkan lagi ialah pembuangan bayi turut menular di institusi pengajian tinggi (IPT).Walaupun berpendidikan tinggi tetapi demi untuk menutup malu dan melindungi perbuatan songsang mereka sanggup membuang dan membunuh anaknya sendiri.
Ini membuktikan bahawa manusia tidak kira apa peringkat dan kedudukan boleh melakukan perkara yang di luar dugaan bila mereka berada pada keadaan yang tertekan.Mereka sanggup menjadi pembunuh dan pendera apabila tidak menemui jalan keluar terhadap masalah yang dihadapinya.Untuk menangani masalah pembuangan bayi, kerajaan tidak mempunyai pilihan lain kecuali memperkukuhkan institusi keluarga sebagai elemen penting dalam proses pembangunan sosial.
Bagi mencapai tujuan itu, pendidikan agama harus diberikan keutamaan dengan memberikan galakkan dan sokongan untuk menghidupkan sekolah agama rakyat.Tidak gunanya kita mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam kalau pegangan agama dan akidah umat Islam berada di ambang kehancuran. Akidah merupakan asas kekuatan kepada umat Islam. Jadi, usaha-usaha perlu dirangka untuk memantapkan akidah orang–orang Islam melalui pelbagai program yang bercorak keagamaan bukannya hiburan yang telah mendominasi kehidupan rakyat negara ini.
Bagi memenuhi hasrat tersebut, masjid, surau, madrasah dan institusi keagamaan yang lain perlu dihidupkan semula. Membiarkan masjid dan surau sepi tanpa sebarang program yang berbentuk keilmuan dan bercorak kemasyarakatan hanya akan menyebabkan golongan remaja berpaling kepada pusat-pusat hiburan untuk memenuhi keperluan jiwa serta rohani mereka yang kosong.
Golongan remaja dan pelajar tidak seharusnya dikorbankan demi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju mengikut acuan barat. Kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan kepesatan pembangunan, berapa banyak bangunan tinggi telah dibina, pembukaan kawasan perumahan yang baru dan bilangan graduan yang berjaya dikeluarkan oleh IPT.Ukuran kepada kemajuan perlu berdasarkan kepada indikator etika dan nilai ketamadunanan yang telah dicapai oleh rakyat sesebuah negara seperti peningkatan taraf sosial yang meliputi aspek-aspek yang berkaitan dengan moral, peratusan celik ilmu yang tinggi dan gaya hidup yang sihat serta seimbang di antara jasamani serta rohani.
Pembangunan yang tidak mengambil kira aspek-aspek ini pada hakikatnya tidak boleh dianggap sebagai kemajuan tetapi adalah satu kemunduran yang menyebabkan masyarakat hidup dalam keadaan yang tertekan dengan pelbagai kenaikan kos hidup yang tidak terkawal.Sama ada disedari atau pun tidak gejala buang bayi mempunyai hubungan yang rapat dengan penyakit yang sedang dihidapi oleh masyarakat kita.
Penyakit-penyakit sosial ini ini ada kaitan pula dengan dasar yang dilaksanakan dalam sebuah negara.Kalau sekali pun dasar itu baik tetapi perlaksanaannya bermasalah dan penuh dengan penyelewengan, penyalahgunaan, kepincangan, rasuah serta beraneka kebobrokan yang lain maka dasar yang yang cantik akhirnya akan meninggalkan kesan yang hodoh sekali. Dan kesan-kesan negatif itu telah menjelma dalam kehidupan kita dalam berbagai-bagai kebejatan sosial yang begitu hodoh dan buruk sifatnya.
Salah satunya ialah gejala buang bayi yang menunjukkan bahawa masyarakat kita kian hilang peri kemanusiaan dan nilai ketamadunannya sehingga mereka tidak lagi merasa sedih dengan apa sedang melanda itu.Sebaliknya gejala buang bayi dilihat sebagai suatu fenomena yang biasa dan harga yang perlu dibayar untuk mencapai taraf negara maju serta masyarakat yang up to date. Orientasi pemikiran sebegini perlu diperbetulkan. Yang boleh membetulkannya ialah pihak yang diberikan kuasa dan mandat untuk mengendalikan hala tuju serta perjalanan negara ini.
Pilihan dibuat oleh masyarakat dan kita sebagai anggota masyarakat harus merasa bertanggungjawab terhadap apa yang sedang terjadi dewasa ini.

No comments:

Post a Comment