Monday, 15 February 2010

MASYARAKAT MALAYSIA : DI MANA SIVIKNYA?


Posted by Bayan under Artikel Label: , ,
Jangan! Jangan! Jangan! Dilarang! Dilarang! Dilarang! Sana-sini, di mana-mana jua tempat di Malaysia terdapat pelbagai ‘jangan’ dan larangan tentang pelbagai perkara. Jangan Merokok, Jangan Membuang Sampah Merata-rata, Jangan Meludah, Dilarang Memijak Rumput, Dilarang Masuk, Dilarang Berkelakuan Sumbang, Dilarang Bercakap dan sebagainya. Kita juga sering diingatkan dengan simbol-simbol larangan tertentu di mana-mana jua. Untuk apakah semua ini?.
Semua kata-kata dan simbol ‘larangan’ dan ‘jangan’ yang ada disekeliling kita adalah untuk mengingatkan kita yang sentiasa lupa dan leka, dan kadangkala buat-buat lupa dan buat-buat tidak nampak. Lupa dan leka bukan kerana hilang ingatan. tidak nampak pula bukan kerana cacat penglihatan. Itu semua berpunca dari suatu keadaan yang dinamakan ‘tiada atau kurang kesedaran SIVIK’.
Kamus Dewan edisi ketiga menginterpretasikan sivik sebagai ilmu tatarakyat dan hak serta perasaan tanggungjawab seseorang terhadap masyarakat. Ilmu tatarakyat pula dihuraikan sebagai ilmu berkenaan bagaimana seseorang hidup dalam masyarakatnya. Pendek kata, sivik yang sinonim dengan perkataan ‘kesedaran’ membawa kita kepada suatu aspek kesedaran mental dan fizikal untuk hidup bermasyarakat dengan terkandungnya nilai-nilai tanggungjawab, hormat-menghormati, amanah, ikhlas, beretika, bersatu padu dan sebagainya. Sampah dibuang merata-rata. Masalah pembuangan sisa pepejal domestik juga sering mendapat perhatian pelbagai pihak. Kerana tiada kesedaran sivik, sampah dibuang sesuka hati di kawasan semak-samun, tepi jalan raya (mungkin dicampak melalui kenderaan), premis terbengkalai, rumah kosong dan kawasan terpencil yang jauh daripada pandangan orang ramai. Malah yang lebih menyedihkan, segelintir masyarakat sewenang-wenangnya membuang sampah di dalam sungai dan longkang sehingga menyebabkan berlakunya banjir kilat dan pencemaran air yang serius. Mungkin ini disebabkan oleh ketiadaan tong sampah yang berdekatan atau mungkin juga masyarakat tidak didedahkan dengan cara-cara yang baik untuk membuang sampah. Kesan paling nyata, bungkusan sampah yang mengandungi pelbagai jenis sisa makanan akan menjadi tempat pembiakan paling ideal bagi nyamuk aedes.
Menurut Pengarah Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat sebanyak RM2.6 juta kompaun dikutip daripada individu dan premis yang didapati membiak nyamuk aedes di seluruh negara sejak awal tahun ini. Jumlah kompaun yang tinggi itu adalah sejajar dengan peningkatan bilangan mereka yang disyaki demam denggi iaitu 35,402 orang dan kira-kira 28 peratus atau 10,040 orang daripadanya disahkan positif. Sehingga kini, 72 orang meninggal dunia akibat demam denggi termasuk dua kematian melibatkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun di Sabah dan seorang wanita berumur 53 tahun di Melaka (Utusan Malaysia, 20 Disember 2006). Mungkin peningkatan jumlah ini berkaitan dengan kejadian banjir yang berlaku di beberapa negeri di Malaysia. Ini kerana kejadian banjir sering memberi kesan bukan sahaja kemusnahan harta benda tetapi juga penyebaran pelbagai jenis penyakit seperti denggi, kepialu, taun dan pelbagai penyakit kulit yang lain.Menurut beliau lagi, kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mencatatkan kutipan kompaun yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. Adakah kawasan-kawasan yang tercatat di atas mengalami banjir yang besar tahun ini? Jika ya, kita terima alasan bahawa banjir menjadi punca nyamuk aedes cepat membiak. Jika tidak, mengapa kawasan tersebut mencatat jumlah kompaun tertinggi? Jawapannya sudah pasti kerana tiada kesedaran sivik di kalangan masyarakat lantas membuang sampah secara tidak betul. Itu baru kes demam denggi. Bagaimana pula dengan kes pencemaran alam sekitar yang melibatkan pembuangan sisa toksid dan pelepasan asap yang melampau dari kenderaan dan kilang-kilang? Kekurangan sivik juga sering dikaitkan dengan kemusnahan harta benda awam seperti lif, telefon awam, tandas awam, tempat menunggu bas, alatan permainan di taman permainan kanak-kanak dan banyak lagi. Memusnahkan harta benda awam atau lebih tepat, harta kerajaan (kerana kerajaan yang menghabiskan wang menyediakan kemudahan ini untuk rakyat), berlaku di mana-mana jua. Tidak kira sama ada di kampung atau di bandar. Perbuatan vandalisme seperti ini bukan sahaja merugikan wang rakyat malah boleh melibatkan nyawa. Wanita mengandung, warga tua dan orang kurang upaya adalah golongan yang paling perit menerima kesan vandalisme seperti kerosakan lif dan tempat menunggu bas.
Penggunaan telefon bimbit yang meluas di Malaysia mungkin menjadi penyebab meningkatnya kes kerosakan telefon awam. Perangkaan terkini yang diperolehi dari Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan terdapat 21.5 juta pengguna telefon bimbit di Malaysia (Bernama, 1 Disember 2006). Ini tidak bermakna telefon awam yang disediakan oleh kerajaan tidak digunakan sepenuhnya. Masih ada golongan tertentu dan situasi tertentu yang meletak telefon awam sebagai pilihan kedua jika berlaku masalah pada telefon bimbit. kemusnahan telefon awam memungkinkan pelbagai insiden yang tidak diingini pada waktu-waktu kecemasan.
Pembangunan kawasan perumahan di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang memberansangkan. Projek-projek perumahan yang diluluskan oleh kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan mensyaratkan setiap kawasan perumahan harus memiliki taman permainan atau taman rekreasi untuk kanak-kanak dan keluarga bersantai. Apa yang berlaku, taman permainan kanak-kanak menjadi tempat mat-mat gian dan pasangan muda-mudi melampiaskan nafsu masing-masing. Kadangkala, terdapat juga orang dewasa yang memanfaatkan sepenuhnya alatan permainan yang disediakan khas untuk kanak-kanak. Kita bukan sahaja ditayangkan dengan pemandangan-pemandangan menjijikkan tingkahlaku segelintir individu tersebut (penagih dadah dan pasangan bercinta), malah alatan permainan juga rosak dan hancur.
“Malaysia terlalu kotor dan hodoh, kami tidak akan mencadangkan negara yang selekeh ini kepada kawan-kawan kami…’’ dan “tandas awam terlalu kotor, sentiasa basah, berbau, tiada tisu dan sabun”. (dipetik daripada sebuah laman web tempatan) Inilah pendapat sekumpulan pelancong yang datang ke Malaysia baru-baru ini tentang tandas awam di Malaysia. Isu tandas kotor telah lama menjadi bahan perbincangan sehingga diadakan Ekspo dan Forum Kebersihan Tandas Kebangsaan 2006 di Sunway Lagoon Resort Hotel, Subang Jaya pada bulan Ogos tahun lalu. Beberapa pendekatan juga telah di senaraikan sebagai garis panduan untuk pihak-pihak yang terlibat dan masyarakat dalam usaha memelihara dan memartabatkan kebersihan tandas di negara ini. Apa yang berlaku, sehingga kini tandas awam tetap menjadi bahan ‘kutukan’ pelancong dari luar. Banyak perkara dalam kehidupan seharian kita memerlukan penerapan dan penghayatan kesedaran sivik. Keluar dari rumah untuk ke tempat kerja, jika berkenderaan sendiri mantapkanlah kesedaran sivik dengan memakai tali pinggang atau topi keledar. Patuhi tanda-tanda isyarat yang telah ditetapkan. Gunakan bahasa dan isyarat yang sopan kepada pengguna jalan yang lain. Kawal kemarahan dan banyakkan bersabar. Bagi yang berkenderaan awam seperti bas, teksi, komuter, atau apa sahaja jenis kenderaan yang memerlukan anda berkongsi dengan orang lain, juga mementingkan kesedaran sivik. Namun, peristiwa yang biasa berlaku adalah warga tua, orang kurang upaya, wanita mengandung, dan kanak-kanak dibiarkan berdiri sepanjang perjalanan. Berebut-rebut semasa menaiki atau turun daripada kenderaan. Sampah juga dibuang sewenang-wenangnya. Walaupun perkara-perkara sebegini dianggap ‘kecil’ dan remeh, ia tetap memberi kesan terutamanya kepada persekitaran.
Pemandangan ‘sampah’ menghiasi mana-mana jua tempat di Malaysia dan juga pemandangan ‘sampah’ yang menghiasi mentaliti dan tabiat segelintir rakyat Malaysia. Perkara-perkara kecil lain yang sering dipandang remeh oleh rakyat Malaysia termasuklah melintas di landasan keretapi, merokok tanpa menghiraukan orang sekeliling, tidak memandang kiri-kanan sewaktu melintas sehinggalah kepada perkara-perkara yang melibatkan jenayah besar seperti buli, ugut, ragut, melepak, lumba haram, mencuri, rasuah, dadah dan sebagainya.
Kesan-kesan perlakuan yang tiada kesedaran sivik sebegini bukan sahaja menyebabkan masyarakat sekeliling tidak selesa malah jika sikap tidak bermoral ini diteruskan kerajaan akan kerugian berjuta ringgit semata-mata mahu memperbaiki kemudahan yang telah rosak ataupun mengadakan kempen-kempen untuk menyedarkan masyarakat tentang banyak perkara. Jenayah besar yang melibatkan nyawa manusia juga boleh berlaku jika aspek sivik tidak diambil kira dalam kehidupan seharian.
Tidak kira sekecil atau sebesar manapun perkara yang dilakukan bertitik tolak daripada kesedaran sivik dan harus direnungi oleh semua lapisan masyarakat daripada kanak-kanak hinggalah kepada warga tua. Kerajaan juga pernah melancarkan kempen ‘Kesedaran Sivik Bermula dari Rumah”. Ini bermakna bagaimana kita menghargai harta peribadi dan bagaimana kita, ‘berkelakuan’ terhadap apa yang kita sayangi dan miliki, begitulah juga kita harus meletak nilai yang positif terhadap apa sahaja di sekeliling kita sebagai perkara yang perlu dipelihara dan disayangi. Seperti bidalan lama, ‘tengadah membilang layas, menangkup membilang lantai’ iaitu berfikir semasak-masaknya sebelum melakukan sesuatu perkara. Jangan jadikan kempen dan isu sebegini sebagai ‘fenomena bermusim’. Apa yang ditafsirkan sebagai fenomena bermusim ialah apabila sesuatu isu yang berbeza diperkatakan dan ditangani pada masa yang berbeza. Sebagai contoh, isu merokok diperkatakan apabila ramai orang memperkatakannya sehingga wujudnya Kempen Tak Nak. Begitu juga dengan kempen Kitar Semula dan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita yang dicanangkan apabila wujud peryataan oleh pelancong asing bahawa rakyat Malaysia pengotor dan kurang ajar. Anti rasuah, anti dadah dan anti jenayah hanya diberi perhatian yang serius apabila wujud peristiwa-peristiwa yang menggemparkan.
Selain itu, isu banjir, keselamatan jalan raya, kebocoran soalan peperiksaan, jenayah ragut, mat rempit dan sebagainya hanya sibuk dibincangkan apabila ada kes-kes yang dilaporkan sedangkan isu-isu tersebut memang berlaku sepanjang masa. Apa yang jelas, masyarakat hanya mengamalkan nilai sivik apabila kempen mengenainya dimulakan oleh kerajaan. Apabila kempen tersebut tidak heboh diperkatakan, tabiat lama dimulakan kembali. Jangan sampai ‘sudah terhantuk baru tengadah’.

No comments:

Post a Comment