Thursday 18 February 2010

Kehakiman Syariah- Jangan Campur Tangan

Tindakan Jabatan Penjara merotan tiga perempuan Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram dianggap satu diskriminasi terhadap wanita.
Sisters in Islam (SIS) mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.
Pengarah Eksekutif SIS Hamidah Marican berkata:
“Dengan melaksanakan hukuman itu, secara tidak langsung, ia menggambarkan kerajaan cuba menyembunyikan layanan tidak adil dan memalukan ini daripada pengetahuan umum"
"Kerajaan juga, perlu mengkaji semula sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana ia mencabuli prinsip hak asasi manusia antarabangsa yang menganggap merotan sebagai hukuman yang kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan."
“Kajian juga menunjukkan merotan bukan hukuman yang efektif bagi menjamin kesalahan jenayah seksual atau keganasan tidak akan berulang,” katanya.

Turut membidas tindakan merotan oleh kerajaan ialah Persatuan Badan Bertindak Wanita (Awam).
Dalam kenyataan akhbarnya, Awam menuntut Menteri Dalam Negeri menjelaskan mengapa hukuman dijalankan secara rahsia.
Presidennya, Sofia Lim Siu Ching berkata hukuman itu dijalankan dengan niat jahat dan bertentangan dengan kepentingan awam yang mendapat perhatian seluruh dunia.
"Menteri Dalam Negeri perlu menjelaskan mengapa hukuman dijalankan tergesa-gesa sedangkan beberapa persoalan berhubung kes Kartika masih belum selesai," katanya.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International (AI) juga mahukan Malaysia menamatkan segera apa yang dilabelkan mereka sebagai 'wabak merotan'AI juga mendakwa pihak berkuasa di negara ini telah merotan ribuan lelaki selain kes berprofail tinggi tiga wanita berkenaan.
Kumpulan yang berpangkalan di London itu berkata lebih 35,000 orang, kebanyakan mereka bukan rakyat Malaysia - dirotan atas kesalahan imigresen sejak 2002.
Menurut timbalan pengarah Asia-Pasifik AI, Donna Guest "ribuan kes berkenaan merujuk kepada wabak merotan yang mula berleluasa di Malaysia."
"Kerajaan Malaysia perlu menghapuskan hukuman merotan yang memang kejam dan zalim tanpa mengira apa jua kesalahan mereka," Katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Hukuman kuno

Majlis Peguam dengan keanggotan 13,500 ahli juga membidas tindakan merotan tiga wanita berkenaan.
Menurut badan perundangan itu, ahli-ahlinya telah meluluskan satu resolusi tiga tahun yang menolak sebatan sebagai satu bentuk hukuman kerana beranggapan ia hukuman kuno dan tidak selaras dengan konsep masyarakat penyayang.
“Pendapat kami selaras dengan norma-norma hak asasi antarabangsa yang membantah hukuman merotan dan juga hukuman membabitkan bentuk jasmani yang dianggap kejam, tidak berperikemanusiaan serta memalukan.," kata pengerusinya, Ragunath Kesavan (kanan).
Tambahnya lagi, hukuman merotan ke atas wanita adalah juga bertentangan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.
"Adalah memeranjatkan, kerajaan hanya mengumumkan perkara itu (merotan tiga wanita berkenaan) setelah hukuman sudah dilaksanakan," katanya juga dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Rentetan daripada isu ini,Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melalui kenyataan Timbalan Presiden nya kesal dengan apa yang berlaku kerana akhir-akhir ini menampakkan unsur campur tangan pihak tertentu dalam proses kehakiman di negara ini terutama kehakiman syariah semakin menjadi-jadi.
Campur tangan pihak pihak terbabit dan juga kerajaan dalam sistem pentadbiran kehakiman syariah perlu ditamatkan segera. Persoalan timbul, mengapa menteri-menteri kerajaan terlalu gemar memberikan komen terhadap kes-kes di Mahkamah Syariah sedangkan terdapat kes-kes di Mahkamah Sivil yang lagi teruk dan dangkal.
Pihak kerajaan termasuk menteri-menteri wanita Islam tidak sepatutnya memberikan komen terhadap hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim Mahkamah Syariah.Ia suatu tindakan biadap mencabar, mempertikaikan dan menghina keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah. Sebarang ketidakpuasan hati dengan keputusan Mahkamah hendaklah dibuat melalui tatacara dan prosedur yang telah ditetapkan oleh undang-undang.
Kerajaan perlu mengambil tindakan drastik dan segera, dengan memberi penjelasan kepada masyakarat bahawa: Hukuman yang dijatuhkan ini adalah masih rendah berbanding hukuman sebenarnya menurut Hukum Syarak yang mana pesalah boleh dijatuhkan hukuman sehingga 40 sebatan hingga 80 sebatan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat. Dalam Islam tidak ada beza antara pesalah lelaki dan wanita. Hak dan tanggungan mereka apabila melakukan kesalahan Syarak adalah sama di sisi Hukum Syarak dan di sisi Tuhan.
Golongan aktivitis wanita lantang memperjuangkan hak dan keistimewaan wanita dan kesamarataan taraf antara lelaki dan wanita. Mengapa dalam isu ini hendak dibezakan pula taraf antara lelaki dan wanita dari segi pelaksanaan hukuman jenayah? Pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Syariah amat berbeza dengan pelaksanaan hukuman sebat menurut undang-undang Sivil. Enam kali sebatan menurut syariah tidak sama dengan hatta satu sebatan menurut undang-undang sivil. Alat sebatan yang digunakan untuk kes syariah hendaklah diperbuat dari rotan atau ranting kecil yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Kalau pesalah itu hamil, hukuman itu hendaklah dilaksanakan selepas dua bulan dia melahirkan anaknya. Pesalah hendaklah diperiksa tahap kesihatannya oleh pegawai kesihatan kerajaan. Hukuman sebat itu hendaklah dengan kehadiran pegawai perubatan kerajaan.Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat berdiri, manakala perempuan dalam keadaan duduk. Sebatan hendaklah dijalankan dengan kekuatan sederhana iaitu tukang sebat itu tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah. Pegawai perubatan kerajaan akan memperakukan sama ada pesalah itu masih boleh menerima sebatan atau ditangguhkan untuk baki sebatan.

No comments:

Post a Comment