Tuesday 16 February 2010

Kemarau-Cacatan Suhu Tinggi

Berikutan keadaan cuaca kini yang terlalu panas, suhu setinggi 38.3 darjah celsius yang dicatatkan di Alor Star Ahad lepas adalah yang kedua tertinggi pernah dicatatkan di negara ini setakat ini.
Suhu tertinggi yang pernah dicatat oleh Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca Malaysia ialah 40.1 darjah celsius pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis. Kepanasan dengan suhu sekitar 37 darjah celsius dirasakan di kebanyakan bandar sepanjang dua minggu lepas berbanding purata suhu biasa di Malaysia antara 34 dan 35 darjah celsius.
Ketua Penolong Pengarah Pusat Ramalan Kaji Cuaca jabatan itu, Wong Teck Kiong berkata kawasan utara ialah yang paling teruk dilanda cuaca panas dengan purata suhu antara 36 dan 37.2 darjah celsius. "Ia ada kaitan dengan cuaca kering dan kebanyakan stesen kita mencatatkan jumlah hujan yang amat sedikit dalam minggu-minggu kebelakangan ini. Ini yang menyebabkan peningkatan suhu," katanya kepada Bernama di Petaling Jaya Rabu. Semalam, suhu di Singapura dan Bangkok, Thailand yang berjiran dengan Malaysia turut mencatat angka tinggi, iaitu 35 dan 33 darjah celsius masing-masing. "Suhu 38.3 itu sebenarnya sangat tinggi dan ia juga mungkin disebabkan ekuinoks yang dijadualkan berlaku pada 21 Mac," kata Wong.
Ekuinoks terjadi apabila matahari bergerak hampir kepada khatulistiwa dan memandangkan Malaysia berkedudukan hampir dengannya, ada kemungkinan suhu akan terus meningkat, kata beliau. "Dari 22 Feb sehingga hujung Mac 2005, cuaca panas dan kering dijangka berterusan di kebanyakan tempat di Malaysia, kecuali ribut petir yang berlaku sekali-sekala sebelah petang di kawasan tengah dan selatan Pantai Barat Semenanjung dan barat Sarawak. Ribut petir petang hari juga dijangka berlaku selepas monsun Timur Laut berakhir pada bulan Mac dan musim antara monsun itu boleh menyebabkan cuaca hujan di Pantai Barat Semenanjung," kata Wong.

No comments:

Post a Comment